Monday, June 27, 2022

Wanita & Mahram

Hai dan  Assalamualaikum para sisters!  Jom kenali mahram kita, supaya kita lebih berhati-hati dalam menjaga batas pergaulan dan ikhtilat 🥰

Boleh rujuk infografik di bawah untuk memudahkan pemahaman kita semua 😄



Maksud mahram: Individu yang diharamkan untuk seseorang berkahwin dengannya sama ada disebabkan hubungan rahim atau kerabat.

Dalil: Penjelasan berkenaan dengan golongan yang dianggap sebagai mahram ini ada dinyatakan dalam firman Allah S.W.T :

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: Diharamkan ke atas kamu ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah bapa), ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah ibu), anak-anak saudara perempuan kamu (dari sebelah adik beradik lelaki kamu), anak-anak saudara perempuan (dari sebelah adik beradik perempuan kamu), ibu-ibu susuan kamu, adik-beradik perempuan susuan kamu, ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kepada isteri kamu yang telah kamu setubuhi. Sekiranya kamu belum bersetubuh dengan mereka maka tidak ada dosa ke atas diri kamu. Dan isteri-isteri kepada anak-anak lelaki kandung kamu (menantu perempuan), dan (perbuatan) menghimpunkan antara dua adik beradik perempuan melainkan apa yang telah berlaku pada masa dahulu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. [Surah Al-Nisa’ (23)]

Jenis-jenis mahram

  1. Mahram muabbad

    1. Mahram kerana nasab

      • Ayah

      • Anak lelaki

      • Saudara lelaki

      • Adik-beradik lelaki sebelah ayah & ibu (bapa saudara)

      • Anak dari adik-beradik lelaki dan perempuan (anak saudara)

    2. Mahram kerana pernikahan

      • Ayah suami (bapa mertua)

      • Anak lelaki suami (anak tiri)

      • Suami kepada anak lelaki (menantu)

      • Suami kepada ibu mertua (bapa mertua tiri)

    3. Mahram kerana susuan

      • Suami kepada ibu susuan (bapa susuan)

      • Anak lelaki dari ibu susuan

      • Adik-beradik ibu susuan

      • Ayah kepada ibu susuan

      • Ayah kepada bapa susuan (bapa mertua ibu susuan)

      • Adik-beradik bapa susuan

      • Bayi lelaki yang menyusu pada ibu susuan yang sama

  1. Mahram muaqqat (lelaki yang haram dinikah kerana sebab tertentu)

    • adik beradik lelaki suami (adik beradik ipar)

    • bapa saudara suami, sebelah ayah atau ibu.

Friday, June 24, 2022

Wanita & Akhlak

 Hai dan Assalamualaikum sisters semua! Harapnya sisters berada dalam keadaan baik-baik sahaja semuanya 💕 kalau sisters semua dah baca entri lepas yang kita bincangkan mengenai wanita dan kepimpinan, entri kali ini kita akan bincangkan sesuatu yang agak berkait juga dengan entri lepas. sesuatu yang dekat dengan peribadi wanita, khususnya muslimah 😆 

seperti di tajuk entri, topik yang menjadi pilihan perkongsian entri kali ini ialah...

Wanita dan Akhlak!

Ya, wanita, atau lebih tepat, muslimah, takkan dapat dipisahkan dengan akhlak. Akhlak cerminan peribadi, akhlak juga cerminan keindahan agama. Betapa indahnya muslimah ini dalam Islam, sehingga akhlak dan peribadi juga diajar dengan penuh teliti, demi menjaga nilai berharganya seorang muslimah solehah. jadi dalam proses menjadi muslimah yang dicintai Allah, ada beberapa aspek yang perlu kita ketahui dan kita berikan perhatian dalam menjaga akhlak. Jom kita baca lebih lanjut perkongsian di bawah!

_________________________________________________

APA ITU 'IFFAH ?

Eh, bukan iffah nama orang tau! 😂

Secara bahasa, ‘iffah adalah menahan. Ada pun secara istilah agama, ‘iffah ialah menahan diri sepenuhnya dari perkara-perkara yang Allah SWT haramkan.

Islam menuntut seorang wanita itu memiliki sifat ‘iffah untuk menjadi seorang wanita yang ‘afifah. Kerana, akhlak ini merupakan akhlak yang tinggi, mulia, dan dicintai oleh Allah SWT. Akhlak ini merupakan sifat hamba-hamba Allah yang solehah yang senantiasa mengharapkan keredaanNya. Seorang wanita yang ‘afifah takut akan kemurkaan dan azab-Nya. Inilah sifat seseorang muslimah sejati. Antara sifat ‘iffah yang harus ada pada seseorang wanita muslimah yang menutup auratnya dalam menjaga kehormatannya adalah:

1. Menundukkan pandangan mata (ghadhul bashar) dan menjaga kemaluannya.

Dalam Islam, seorang wanita yang baik akan sentiasa menjaga pandangannya dan berusaha untuk mengelak daripada menatap lawan jenis yang bukan mahramnya. Mereka akan sentiasa berusaha untuk menyembunyikan dirinya daripada pandangan orang dan berusaha menjauhi tempat di mana lelaki dan wanita bergaul:

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
“Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.” (an-Nuur: 31).

2. Tidak keluar musafir (safar) bersendirian tanpa didampingi mahramnya yang akan menjaga dan melindunginya dari gangguan.

Rasulullah SAW bersabda,
لاَ تُسَافِرِ امرَأَةٌ إِلاَّ مَعَ ذِي مَحْرَمٍ

“Tidak boleh seorang wanita melakukan safar kecuali didampingi mahramnya.” (HR. al-Bukhari dan Muslim)

3. Tidak berjabat tangan dengan lelaki yang bukan mahramnya

Bersentuhan dengan berlainan jenis akan membangkitkan sebuah perasaan di dalam jiwa yang akan membuat hati itu cenderung kepada perbuatan keji dan hina. Syaikh Abdul Aziz bin Abdillah bin Baz r.a. berkata,
 
"Secara mutlak tidak boleh berjabat tangan dengan wanita yang bukan mahram, sama sahaja samada perempuan atau lelaki yang berjabat tangan itu masih muda ataupun sudah tua. Kerana, berjabat tangan seperti ini akan menimbulkan godaan bagi kedua-dua belah pihak." 
 
Aisyah r.a berkata tentang Rasulullah SAW,

مَا مَسَّتْ يَدُ رَسُوْلِ اللهِ يَدَ امْرَأَةٍ إِلاَّ امْرَأَةً يَمْلِكُهَا

“Tangan Rasulullah SAW tidak pernah menyentuh tangan wanita, kecuali tangan wanita yang dimilikinya.” (HR. al-Bukhari)

4. Menjaga ikhtilat. Tidak berkhalwat (berduaan) dengan lelaki yang bukan mahram.

Rasulullah SAW telah memperingatkan dalam sabdanya yang agung,

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُوْ مَحْرَمٍ 
“Tidak boleh sama sekali seorang lelaki bersunyian dengan seorang wanita kecuali bila bersama wanita itu ada mahramnya.” (HR. al-Bukhari dan Muslim)

5. Menjaga diri dari hal-hal yang lagha yang dapat mendatangkan kelalaian dalam ibadah dan menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang dapat memberi manfaat kepada Islam khususnya.

Sememangnya usaha yang dilakukan untuk memiliki ‘iffah tidak mudah. Begitu banyak ujian di zaman ini yang mudah sahaja membuatkan para wanita tertewas sekiranya iman hanya senipis kulit bawang. Perlunya mujahadah yang bersungguh-sungguh dengan memohon pertolongan Ilahi. Lazimi zikir, istighfar dan taubat dalam menempuhi kehidupan. Moga Allah melindungi kita semua. Allah SWT menyatakan,

وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُواْ فِينَا لَنَهۡدِيَنَّهُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

“Orang-orang yang bersungguh-sungguh mencari keredaan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang memperbaiki amalannya ” (al-Ankabut: 69) 

 Semoga Allah membimbing kita para wanita ke jalan yang diredai olehNya. Amiin.

_________________________________________________

Sekian sahaja perkongsian mengenai akhlak dan keperibadian seorang muslimah bagi entri kali ini. semoga kita mendapat manfaat dan sama-sama kita cuba untuk menjadi muslimah yang lebih baik. Kongsikan pada kawan-kawan ya, sama-sama kita jadi solehah dan masuk syurga, aaamiin! 💖💖


Monday, June 20, 2022

Wanita & Kepimpinan

 Assalamualaikum sisters! 💗


Siapa yang baca profail Saalam Sixters ni, mesti tahu yang kami para admins merupakan pelajar IPT (siapa belum baca haa cari cepat!) Jadi admin dapat update dari kawan-kawan universiti lain yang sekarang sedang musim pilihan raya kampus. Dan admin perasan yang saban hari, saban tahun, pemimpin dari kalangan wanita semakin ramai! Jadi admin terpanggil untuk berkongsi dengan sisters semua mengenai wanita dan kepimpinan. Jom!

______________________________________________________________________



Definisi Kemimpinan

Pemimpin merupakan individu yang boleh memberi pengaruh kepada individu yang lain di dalam suatu pertubuhan. Manakala, kepimpinan adalah kewujudan pemimpin yang berada dalam organisasi yang mempunyai struktur yang tersendiri dengan mewujudkan hubungan pemimpin dan pengikut bagi mencapai kecemerlangan.

Menurut Perspektif Islam

  • Secara umumnya keterlibatan perempuan dalam urusan muamalah harian berasaskan dua wilayah (kekuasaan), iaitu al-wilayah al-'ammah dan al-wilayah al-khassah.
  • Dalam al-wilayah al-'ammah timbul polemik mengenai kewajaran melantik seseorang perempuan.
  • Keharusan kaum perempuan dalam memegang urusan yang berkait dengan al-wilayah al-khassah tidak dipertikaikan oleh ulama.
Al-Wilayah al-Ammah
  • Ditakrifkan sebagai suatu jawatan atau kuasa yang menjalankan sesuatu urusan umum.
  • Dalam istilah sekarang, ia adalah kekuasaan tertinggi, kekuasaan kehakiman, badan pengawas, kekuasaan perundangan dan lain-lain yang termasuk dalam fardu kifayah.
  • Para ulama klasik bersepakat menyatakan tidak harus bagi perempuan untuk menjawat jawatan kepimpinan tertinggi dan lelaki disyaratkan sebagai asas utama perlantikan ini.
  • Firman Allah SWT dalam al-Qur'an al-Karim, surah al-Nisa'  (4): ayat 34 yang bermaksud:
اَلرِّجَالُ قَوَّامُوْنَ عَلَى النِّسَاۤءِ بِمَا فَضَّلَ اللّٰهُ بَعْضَهُمْ عَلٰى بَعْضٍ وَّبِمَآ اَنْفَقُوْا مِنْ اَمْوَالِهِمْ ۗ
Lelaki (suami) adalah pelindung bagi wanita (isteri), kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah memberi nafkah dari harta mereka.
  • Dengan tanggungjawab yang berat inilah jumhur ulama sepakat meletakkan syarat pelantikan ketua negara itu dari kalangan kaum lelaki.
  • Walau bagaimanapun, Menurut Siti Musdah Mulia, tidak ada larangan dalam Islam mengenai kepemimpinan perempuan, tetapi juga tidak ada perintah.
  • Sedangkan golongan ketiga membenarkan kepimpinan perempuan dalam batas tertentu, iaitu selain jawatan khalifah agung (al-Khilafah al-Uzma), iaitu Ibn Hazm.
  • Syeikh alGhazali turut berpendapat bahawa Islam tidak melarang perempuan menjawat apa sahaja jawatan kecuali Khalifah Agung (al-Khilafah al-'Uzma).
Ciri-ciri pemimpin yang ideal
  • Mempunyai pengetahuan yang luas di dalam bidang
  • Mempunyai kemahiran berkomunikasi yang baik
  • Mempunyai ciri fizikal dan peribadi yang mampu mengajak, membimbing dan memimpin orang lain.
Rumusan
  • Justeru berasaskan perbincangan tersebut, penulis memilih pandangan golongan sederhana iaitu pendapat al-Ghazali, iaitu perempuan boleh menjawat jawatan tertentu selain Khalifah Agung (al-Khilafah al-'Uzma).
  • Hal ini kerana, pandangan berkenaan mampu menangani kemelut semasa khususnya berkait dengan isu kepimpinan perempuan kontemporari.
  • Kaum perempuan mendapat pelbagai hak termasuklah dalam bidang kepimpinan.
  • Pandangan tersebut perlu diteliti dalam mengambil kira kepimpinan perempuan berasaskan latar belakang setempat.
_____________________________________________________________________

Itu sahaja perkongsian dari kami untuk entri kali ini. Semoga sedikit sebanyak kita para muslimah mampu menjadi seorang pemimpin, tidak kira apa jua taklukan kita. Paling penting, kita merupakan pemimpin bagi diri kita sendiri.


Nah admin kongsikan gambar admin masa jadi fasilitator pelajar dahulu.  Salah satu pengalaman admin dalam bidang kepimpinan, menyimpan satu seribu pengalaman yang takkan terlupakan :)

Kongsikan ciri-ciri kepimpinan yang para sisters idamkan atau mahukan dalam diri seorang pemimpin, samada kalian sebagai pemimpin atau orang yang dipimpin. Kalau admin, admin amat mengidamkan kemahiran komunikasi diri semakin baik sebagai seorang pemimpin, barulah orang lain ada keyakinan terhadap apa yang kita sampaikan. 😄