Friday, June 24, 2022

Wanita & Akhlak

 Hai dan Assalamualaikum sisters semua! Harapnya sisters berada dalam keadaan baik-baik sahaja semuanya 💕 kalau sisters semua dah baca entri lepas yang kita bincangkan mengenai wanita dan kepimpinan, entri kali ini kita akan bincangkan sesuatu yang agak berkait juga dengan entri lepas. sesuatu yang dekat dengan peribadi wanita, khususnya muslimah 😆 

seperti di tajuk entri, topik yang menjadi pilihan perkongsian entri kali ini ialah...

Wanita dan Akhlak!

Ya, wanita, atau lebih tepat, muslimah, takkan dapat dipisahkan dengan akhlak. Akhlak cerminan peribadi, akhlak juga cerminan keindahan agama. Betapa indahnya muslimah ini dalam Islam, sehingga akhlak dan peribadi juga diajar dengan penuh teliti, demi menjaga nilai berharganya seorang muslimah solehah. jadi dalam proses menjadi muslimah yang dicintai Allah, ada beberapa aspek yang perlu kita ketahui dan kita berikan perhatian dalam menjaga akhlak. Jom kita baca lebih lanjut perkongsian di bawah!

_________________________________________________

APA ITU 'IFFAH ?

Eh, bukan iffah nama orang tau! 😂

Secara bahasa, ‘iffah adalah menahan. Ada pun secara istilah agama, ‘iffah ialah menahan diri sepenuhnya dari perkara-perkara yang Allah SWT haramkan.

Islam menuntut seorang wanita itu memiliki sifat ‘iffah untuk menjadi seorang wanita yang ‘afifah. Kerana, akhlak ini merupakan akhlak yang tinggi, mulia, dan dicintai oleh Allah SWT. Akhlak ini merupakan sifat hamba-hamba Allah yang solehah yang senantiasa mengharapkan keredaanNya. Seorang wanita yang ‘afifah takut akan kemurkaan dan azab-Nya. Inilah sifat seseorang muslimah sejati. Antara sifat ‘iffah yang harus ada pada seseorang wanita muslimah yang menutup auratnya dalam menjaga kehormatannya adalah:

1. Menundukkan pandangan mata (ghadhul bashar) dan menjaga kemaluannya.

Dalam Islam, seorang wanita yang baik akan sentiasa menjaga pandangannya dan berusaha untuk mengelak daripada menatap lawan jenis yang bukan mahramnya. Mereka akan sentiasa berusaha untuk menyembunyikan dirinya daripada pandangan orang dan berusaha menjauhi tempat di mana lelaki dan wanita bergaul:

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
“Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.” (an-Nuur: 31).

2. Tidak keluar musafir (safar) bersendirian tanpa didampingi mahramnya yang akan menjaga dan melindunginya dari gangguan.

Rasulullah SAW bersabda,
لاَ تُسَافِرِ امرَأَةٌ إِلاَّ مَعَ ذِي مَحْرَمٍ

“Tidak boleh seorang wanita melakukan safar kecuali didampingi mahramnya.” (HR. al-Bukhari dan Muslim)

3. Tidak berjabat tangan dengan lelaki yang bukan mahramnya

Bersentuhan dengan berlainan jenis akan membangkitkan sebuah perasaan di dalam jiwa yang akan membuat hati itu cenderung kepada perbuatan keji dan hina. Syaikh Abdul Aziz bin Abdillah bin Baz r.a. berkata,
 
"Secara mutlak tidak boleh berjabat tangan dengan wanita yang bukan mahram, sama sahaja samada perempuan atau lelaki yang berjabat tangan itu masih muda ataupun sudah tua. Kerana, berjabat tangan seperti ini akan menimbulkan godaan bagi kedua-dua belah pihak." 
 
Aisyah r.a berkata tentang Rasulullah SAW,

مَا مَسَّتْ يَدُ رَسُوْلِ اللهِ يَدَ امْرَأَةٍ إِلاَّ امْرَأَةً يَمْلِكُهَا

“Tangan Rasulullah SAW tidak pernah menyentuh tangan wanita, kecuali tangan wanita yang dimilikinya.” (HR. al-Bukhari)

4. Menjaga ikhtilat. Tidak berkhalwat (berduaan) dengan lelaki yang bukan mahram.

Rasulullah SAW telah memperingatkan dalam sabdanya yang agung,

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُوْ مَحْرَمٍ 
“Tidak boleh sama sekali seorang lelaki bersunyian dengan seorang wanita kecuali bila bersama wanita itu ada mahramnya.” (HR. al-Bukhari dan Muslim)

5. Menjaga diri dari hal-hal yang lagha yang dapat mendatangkan kelalaian dalam ibadah dan menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang dapat memberi manfaat kepada Islam khususnya.

Sememangnya usaha yang dilakukan untuk memiliki ‘iffah tidak mudah. Begitu banyak ujian di zaman ini yang mudah sahaja membuatkan para wanita tertewas sekiranya iman hanya senipis kulit bawang. Perlunya mujahadah yang bersungguh-sungguh dengan memohon pertolongan Ilahi. Lazimi zikir, istighfar dan taubat dalam menempuhi kehidupan. Moga Allah melindungi kita semua. Allah SWT menyatakan,

وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُواْ فِينَا لَنَهۡدِيَنَّهُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

“Orang-orang yang bersungguh-sungguh mencari keredaan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang memperbaiki amalannya ” (al-Ankabut: 69) 

 Semoga Allah membimbing kita para wanita ke jalan yang diredai olehNya. Amiin.

_________________________________________________

Sekian sahaja perkongsian mengenai akhlak dan keperibadian seorang muslimah bagi entri kali ini. semoga kita mendapat manfaat dan sama-sama kita cuba untuk menjadi muslimah yang lebih baik. Kongsikan pada kawan-kawan ya, sama-sama kita jadi solehah dan masuk syurga, aaamiin! 💖💖


No comments:

Post a Comment